Matan
Iktiqad Qadariah
IKTIQAD qadariah merupakan salah satu mazhab yang
timbul di dalam masyarakat Islam selepas kewafatan Rasulullah SAW. Sebelum kita
memperkatakannya, sayugia kita ingat di sini bahawa perpecahan ataupun
perselisihan iktiqad tidak berlaku pada zaman ketika Rasulullah masih hidup.
Ketika itu Rasulullah SAW merupakan tempat rujuk para Sahabat jika timbul
sebarang perselisihan.
Lazimnya, bagi setiap permasalahan yang timbul, ALLAH
akan turunkan wahyu kepada Rasulullah SAW. Tetapi dalam beberapa hal, ALLAH
hanya memberikan ilham kepada Rasulullah SAW, dan keluarlah Hadis-hadis
daripada Rasulullah SAW bagi menyelesaikan perselisihan yang timbul. Jadi,
Hadis-hadis yang keluar daripada kata-kata Rasulullah SAW sendiri itu juga
merupakan wahyu daripada ALLAH yang tidak berbentuk ayat Al Quran. Ia berbentuk
kata-kata daripada Rasulullah tetapi adalah ilham daripada ALLAH .SWT. Maka,
hakikatnya, Hadis juga merupakan wahyu daripada ALLAH SWT,. Firman ALLAH SWT:
Terjemahan: Tidaklah dia (Rasulullah) bercakap
mengikut hawa nafsunya tetapi adalah sesuatu yang diwahyukan oleh ALLAH SWT.
(An Najm: 3-4)
Kerana yang demikian, pada zaman Rasulullah SAW tidak
timbul apa-apa perselisihan walau di sudut apa sekalipun. Apabila ada sahaja
perselisihan, lantas Rasulullah menyelesaikannya. Tetapi Rasulullah SAW ada
berkata, akan timbul dua bentuk perselisihan selepas beliau wafat, sebagaimana
sabdanya:
Terjemahannya: Berselisihan fahamnya umat aku itu
adalah menjadi rahmat. (Riwayat: Al Baihaqi)
Terjemahannya: Akan berpecah belah umatku menjadi
73 puak. Kesemuanya dimasukkan ke dalam Neraka kecuali satu puak saja.
Inilah yang telah diceritakan oleh Rasulullah SAW
tentang umat pada akhir zaman ini iaitu zaman kita ini yang mana akan wujud dua
bentuk khilafiah atau, perselisihan faham di kalangan masyarakat Islam. Yang
pertama, perselisihan yang menjadi rahmat; dan yang kedua, perpecahan umat
Islam kepada 73 puak yang mana hanya satu puak sahaja yang terselamat manakala
72 puak yang lain terjun ke Neraka.
Perselisihan faham yang pertama dibenarkan oleh
syariat. Tetapi bentuk perselisihan yang kedua itu hendaklah kita jauhi kerana
kalau kita termasuk di dalam 72 puak itu, kita akan ikut terjun ke Neraka. Kita
hendaklah berhati-hati dalam perselisihan ini kerana ia tidak di bolehkan. Dan
ia telah pun berlaku dan sedang berlaku pada hari ini.
Perselisihan Faham Menjadi Rahmat
Perselisihan faham yang pertama seperti yang
disebutkan oleh Rasulullah SAW sebagai menjadi rahmat kepada umat ialah
perselisihan faham dalam perkara-perkara furuk atau perkara-perkara cabang atau
perkara-perkara ranting yang ada di dalam ajaran Islam. Perselisihan ini tidak
menyentuh soal-soal aqidah atau soal-soal yang asas di dalam ajaran Islam.
Tentang mengapa berlakunya perselisihan faham dalam
perkara-perkara ranting ini, banyak sebabnya dan ia memerlukan huraian yang
panjang. Tetapi untuk pengetahuan kita, di sini cukuplah saya huraikan secara
kasar sahaja. Di antara sebab-sebabnya ialah kerana tidak ada nas yang sahih,
sama ada daripada Al Quran ataupun daripada Sunnah Rasulullah SAW, mengenai
satu-satu masalah ranting.
Dan, apabila hal ini berlaku, ulama-ulama yang mampu
berijtihad iaitu yang kita katakan ulama mujtahidin, menggunakan daya berfikir
mereka untuk menyelesaikan masalah ranting itu. Mereka berijtihad mengeluarkan
hukum kerana nas yang sahih dan yang jelas mengenainya tidak ada.
Sebab lain mengapa boleh terjadi khilafiah ialah
kerana, sungguhpun ada keterangan atau nas yang sahih sama ada daripada Hadis
atau Al-Quran, tetapi maknanya boleh ditakwilkan dengan berbagai-bagai
pengertian.
Dan apabila hal ini berlaku, maka ulama-ulama
mujtahidin yang mampu berijtihad mengambil satu makna daripada beberapa
pengertian itu yang diyakini benar. Dalam hal ini, kalau ada tiga ulama, maka
terdapatlah tiga makna atau pendapat.
Cuba kita perhatikan satu contoh. Di dalam Al Quran,
ada sepotong ayat yang menceritakan tentang hal yang membatalkan wudhuk. Ayat
itu berbunyi:
Terjemahannya: Atau kamu menyentuh perempuan (maka
batal air sembahyang). (Al Maidah:. 6)
Kalimah yang membawa maksud "menyentuh
perempuan" di sini boleh ditakwil dengan berbagai-bagai makna. Ada makna
yang majazi dan ada makna yang hakiki. Imam Shafie rahimahullahu taala mengambil
terus daripada makna yang hakiki atau makna yang zahir. Dia tidak mahu
mentakwil makna yang sebaliknya. Baginya, apabila bersentuh sahaja dengan
perempuan yang bukan muhrim, maka batallah air sembahyang.
Tetapi sesetengah imam mujtahidin yang lain pula mentakwilkan
maksud "menyentuh perempuan" itu dengan mengambil makna yang majazi.
Mereka berpendapat bahawa perkataan yang membawa maksud "menyentuh"
di sini ialah perkataan Allah, dan Allah pula sangat pemalu. Kerana itu Allah
menggunakan perkataan yang halus. Mereka mentakwilkan "menyentuh" di
sini sebagai bahasa Allah yang memberi pengertian persetubuhan. Jadi bagi
ulama-ulama ini, sampai kepada peringkat persetubuhan, baharulah batal air
sembahyang.
Ada sesetengah ulama lain pula mentakwilkan
"sentuhan" sebagai sentuhan yang bernafsu. Ertinya, kalau bersentuh
itu boleh menimbulkan nafsu, maka baharulah batal air sembahyang. Oleh itu,
timbullah beberapa pendapat dalam soal "menyentuh perempuan" yang
membatalkan air sembahyang.
Satu sebab lagi mengapa berlaku khilafiah ialah
disebabkan oleh cara Hadis itu diterima oleh imam-imam mujtahidin itu. Pada
setengah-setengah imam itu, Hadis-hadis tidak sampai kepada mereka. Maka mereka
tidak berhukum kepada Hadis. Bagi setengah-setengah imam itu pula, Hadis-hadis sampai
kepada mereka tetapi tidak mengikut syarat mereka. Bagi sesetengah imam,
syarat-syarat penerimaan Hadis agak ketat, dan kerana itu imam yang menerima
Hadis dengan cukup syaratnya akan berhukum kepada Hadis manakala yang menerima
Hadis tetapi tidak memenuhi syaratnya, mereka tidak akan berhukum kepada Hadis.
Hal ini tidak akan terjadi kalau imam-imam bertemu
dengan Sahabat. Mungkin mereka hanya dapat bertemu dengan orang yang telah
bertemu dengan Sahabat.
Ada Ulama Tidak Dapat Menerima Hadis
Sebab-sebab mengapa setengah-setengah ulama tidak
dapat menerima Hadis ialah kerana mereka hidup pada zaman Hadis-hadis belum
dibukukan lagi. Hadis-hadis hanya tersemat di dalam kepala Sahabat-Sahabat
sahaja, dan kerana itu mana-mana ulama yang bertemu dengan Sahabat maka Hadis
sampai kepadanya sedangkan ulama yang tidak dapat bertemu dengan Sahabat, maka
Hadis tidak sampai kepadanya.
Manakala Sahabat pula setelah wafat Rasulullah SAW,
tidak lagi diam di Makkah dan di Madinah. Mereka semuanya keluar ke seluruh
pelusuk dunia untuk berdakwah. Berbeza dengan kita ini yang mana kalau boleh
hendak duduk di Madinah dan Makkah sahaja. Sahabat-Sahabat bukan tidak
mengetahui tentang utamanya beribadah di Makkah dan Madinah tetapi oleh kerana
pentingnya risalah yang disampaikan oleh Rasulullah itu disampaikan juga kepada
semua manusia, maka mereka keluar meninggalkan kampung halaman. Sebab itu lebih
tiga suku Sahabat mati di luar bumi Makkah dan Madinah. Sebab itulah ajaran
Islam cepat berkembang ketika itu.
Kerana itu amat sukar untuk menemui Sahabat-Sahabat
sedangkan Hadis-hadis hanya terhafal di dalam kepala Sahabat. Maka sesetengah
imam mujtahidin dapat bertemu dengan mereka manakala setengah-setengah yang
lain tidak dapat. Inilah juga satu sebab mengapa terjadi khilafiah.
Khilafiah Hanya Pada Perkara Ranting
Tetapi perlu juga kita ingat bahawa perkara-perkara
yang menimbulkan khilafiah ini hanyalah perkara-perkara yang yang ranting, dan
kerana itu Hadis-hadis yang menyuluh perkara yang ranting ini sahaja yang
mungkin ada sesetengah imam mujtahidin menerimanya dan ada setengah-setengah
mereka tidak menerimanya.
Umpamanya seperti yang kita contohkan sebelum ini
iaitu perkara sentuhan yang membatalkan air sembahyang atau dalam
perkara-perkara lain yang satu masa dahulu hangat diperbualkan iaitu soal
talqin jenazah atau soal melafaz niat dalam sembahyang dan lain-lainnya.
Sebenarnya ini adalah masalah ranting yang tidak perlu
kita pertikaikan hingga menyebabkan timbulnya puak-puak, dan satu puak membidas
puak yang lain seperti puak yang mengharuskan talqin membidas puak yang tidak
mengharuskan talqin, dan sebagainya. Apabila sesama Islam ini bertikai di atas
perkara-perkara furuk seperti ini, orang-orang kafir mengambil kesempatan untuk
menindas orang Islam.
Oleh yang demikian, perkara yang boleh diperselisihkan
mesti kita terima dengan sikap toleransi dan lapang dada. Jangan kita hiraukan
sangat persoalan seperti ini. Siapa yang hendak berpegang kepada satu-satu
khilafiah, biarlah dia berpegang dengan khilafiah itu kerana ini dibolehkan
sepertimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah bahawa berselisih fahamnya
umat adalah suatu rahmat.
Dalam pada itu, berselisih faham yang tidak dibolehkan
berlaku juga. Siapa yang terjebak di dalam perselisihan itu, maka dia terjun ke
Neraka. Itulah yang dikatakan oleh Rasulullah SAW bahawa umat pada akhir zaman
nanti akan berpecah kepada 73 puak; 72 daripadanya terjun ke Neraka, dan
puak-puak inilah yang harus kita jauhi agar kita tidak terjebak di dalamnya. Di
antara puak yang 72 ini ialah mazhab fahaman qadariah, jabariah, muktazilah,
qadiani, rafdhi, syiah, dan banyak lagi fahaman yang lain. Yang akan kita perkatakan
di dalam buku ini ialah tentang fahaman atau iktiqad qadariah dan jabariah.
Fahaman-fahaman atau mazhab-mazhab yang menimbulkan
khilafiah yang tidak dibolehkan oleh syariat ini telah menyentuh soal-soal
pokok. Misalnya, fahaman muktazilah membawa pegangan, bahawa alam ini qadim
sepertimana juga zat ALLAH itu qadim. Inilah iktiqad mereka. Nyata iktiqad
mereka sudah salah. Perselisihan ini telah menyentuh masalah pokok.
Kemudian mereka berpendapat bahawa nikmat, Syurga itu
bukan nikmat rohani dan jasmani tetapi nikmat rohani sahaja. Seolah-olah bagi
mereka itu, Syurga itu tidak ada; barang siapa yang tenang jiwanya dan dapat
menyembah ALLAH, maka tenanglah jiwanya di Akhirat kelak. Sedangkan di dalam Al
Quran jelas ALLAH sebut tentang nikmat Syurga yang dilihat dengan mata kepala
siapa yang masuk ke dalamnya dan akan makan makanan yang betul.
Lain-lain fahaman muktazilah ini adalah seperti orang
yang membuat dosa besar, mereka ini berada di tengah antara mukmin dan kafir;
iaitu mukmin pun tidak, kafir pun tidak. Di Akhirat nanti mereka akan duduk di
antara dua tempat iaitu Syurga pun tidak, Neraka pun tidak. Sedangkan di dalam
Al Quran disebut hanya ada dua tempat di Akhirat iaitu Neraka atau Syurga.
Tidak pernah kita dengar ada tempat di antara Syurga dengan Neraka.
Kita telah memberikan beberapa contoh bagi iktiqad
muktazilah. Kemudian antara iktiqad fahaman syiah yang terlalu jauh
menyelewengnya, ada yang mengatakan Sayidina Ali itu nabi. Kononnya, menurut
mereka, Jibril tersalah hantar wahyu. Sebenarnya Allah menyuruh dihantarkan
wahyu kepada Sayidina Ali tetapi Jibril tersilap hantar kepada Muhammad, kata
mereka. (Untuk mendapat penjelasan lanjut mengenai penyelewengan dalam mazhab
syiah, sila rujuk buku BAHAYA SYIAH karangan Ustaz Ashaari Muhammad. -
penerbit)
Perselisihan Yang Tidak Dibenarkan Oleh Syariat
Jadi kita dapati di sini bahawa mereka telah menyentuh
soal-soal pokok dalam ajaran Islam. Kerana itu perselisihan seperti ini tidak
dibolehkan di dalam syariat. Ia mesti kita tolak sama sekali, kerana ia boleh
membawa kita terjun ke Neraka. Ada di antaranya hingga jatuh kepada kafir.
Namun semua mereka itu mengaku berpegang kepada Al Quran dan Sunnah. Mereka
menganggap mereka betul.
Dan di antara mazhab-mazhab yang tertolak ialah mazhab
qadariah. Perkataan qadariah ini timbul daripada kalimah "qudrah"
yang bererti kekuasaan. Mazhab qadariah adalah berfahaman qadariah. Takrif
qadariah pula adalah, beriktiqad bahawa segala perbuatan yang dilakukan oleh
manusia itu sama ada baik mahupun buruk semuanya terbit daripada usaha dan
ikhtiar manusia itu sendiri; sedikit pun tidak berpaut dengan kuasa Tuhan lagi.
Mereka ini menganggap usaha perbuatan mereka yang
memberi bekas. Ia tidak bersangkut paut langsung dengan qudrah .ALLAH SWT.
Ertinya, apa sahaja yang manusia usahakan atau kerjakan, ia tidak ada
bersangkut dengan ALLAH SWT. Jadi yang memberi bekas kepada usaha ikhtiar serta
perbuatan manusia itu bukannya daripada kekuasaan ALLAH SWT. Qudrah yang ada
pada manusia itulah yang memberi bekas tetapi qudrah yang ada pada manusia itu
adalah qudrah yang ALLAH beri. Cuma apabila telah ALLAH berikan qudrah itu
kepada manusia, maka qudrah itulah yang bertindak sendiri. Maka manusia
bertindak dengan qudrah yang ALLAH berikan itu tanpa bersandar apa-apa lagi
kepada ALLAH SWT. Inilah fahaman orang yang beriktiqad qadariah.
Kesimpulannya ialah bahawa mereka yang berfahaman
qadariah ini mengakui qudrah yang ada pada manusia itu adalah qudrah yang ALLAH
beri. Tetapi selepas ALLAH berikan qudrah itu kepada manusia, maka terserahlah
kepada manusia itu sendiri untuk bertindak hingga ia memberi bekas. Seolah-olah
selepas ALLAH berikan qudrah kepada manusia, ALLAH tidak lagi berkuasa kepada
manusia. Terputus hubungan manusia dengan ALLAH selepas itu. Jadi qudrah yang
ALLAH berikan kepada manusia itu boleh bertindak dan boleh memberi bekas dalam
kerja-kerjanya; tidak ada sangkut paut lagi dengan ALLAH SWT. Inilah fahaman
qadariah. Iktiqad yang seumpama ini adalah salah.
Usaha Manusia Tidak Memberi Bekas
Bukan sahaja dari segi iktiqadnya sudah bersalahan,
malah akal kita pun menolaknya. Bagaimana kita tidak menolaknya. Cuba kita
perhatikan pengalaman-pengalaman hidup manusia di dunia ini. Betapa ramai
sekali manusia di dunia yang tidak mencapai kehendak-kehendak mereka padahal mereka
sudah berazam sungguh- sungguh, sudah usaha habis-habisan dan sebagainya. Dalam
usaha mereka untuk mencapai kehendak-kehendak mereka itu, mereka atur
betul-betul serta mereka perjuangkan mati-matian. Tetapi begitu banyak juga
kehendak manusia ini yang gagal.
Jadi, tidaklah usaha ikhtiar manusia ini boleh memberi
bekas. Dan tidaklah usaha perbuatan manusia yang memberi kejayaan. Padahal
kalau kita perhatikan tindakan- tindakan yang dilakukan amat mengkagumkan.
Bermula dari cita-cita yang tinggi, mereka lahirkan dalam bentuk perbuatan.
Mereka jemput pakar-pakar antarabangsa yang ahli dalam bidang-bidang terkhusus,
namun mereka gagal juga.
Dalam bidang ilmu sahaja, berapa ramai orang yang
bercita-cita hendak pandai. Mereka bertelaah sungguh-sungguh hingga tidak ada
masa untuk sembahyang. Begitu keras mereka bekerja dengan membuat
rujukan-rujukan serta bertanya sana sini. Kadang-kadang sampai tertidur di
kutubkhanah. Begitu ingin sekali mereka hendak berjaya di bidang ilmu
pengetahuan, namun ramai juga yang gagal.
Tetapi sebaliknya, ada setengah-setengah orang itu
tidak pun belajar sungguh-sungguh dan tidak pula dia sibuk bertanya sana sini.
Usahanya macam lebih kurang sahaja. Tetapi pelik, dia pula yang berjaya serta
dapat pula kepujian dan sebagainya. Jadi kita dapati di sini bahawa bukanlah
usaha ikhtiar manusia itu yang memberi bekas kerana kalaulah usaha ikhtiar
manusia itu yang memberi bekas tentulah tidak ada yang gagal. Lebih-lebih lagi
bagi mereka yang berazam sungguh-sungguh itu.
Kemudian cuba kita perhatikan pula usaha ikhtiar
manusia untuk menjaga kesihatan badannya agar jangan dihinggap penyakit dan
agar jangan mati cepat. Mereka jaga makan minum dan ikut betul-betul nasihat
doktor yang mana kalau doktor kata makan satu pinggan, maka satu pinggan sajalah
dia makan. Dan yang mana doktor kata tidak boleh dimakan, dia ikut dengan
patuh. Kemudian dia makan pil-pil kesihatan serta dia jaga betul-betul
tidurnya. Bukan itu sahaja, Subuh-subuh lagi dia buat jogging hingga tertinggal
sembahyang Subuh.
Tetapi malangnya, orang-orang ini sakit juga. Ada yang
sakit jantung, darah tinggi, sakit buah pinggang, kencing manis, dan
sebagainya.
Manakala bagi setengah-setengah orang itu, dia selamba
sahaja menjaga kesihatannya. Dia tidak kira makan minum; asal halal sahaja dia
makan. Ubat tidak pernah dia makan walaupun dia sakit. Selagi badannya boleh
menanggung, dia tidak kira sangat. Tetapi pelik, orang ini pula yang sihat
segar badannya. Penyakit pun jarang-jarang hinggap pada dirinya.
Pengalaman Mengajar Kita
Begitu jugalah usaha-usaha mereka yang ingin kekayaan
hingga tidur malam pun mimpi kekayaan. Dia bekerja sungguh-sungguh hingga tidak
kira masa lagi, dan sembahyang pun tidak dihiraunya. Dia juga terlalu sibuk
sampai tidak ada masa untuk mengaji, sembahyang berjemaah dan sebagainya. Pagi
petang, siang malam, dia kira hendak mencari wang ringgit sahaja.
Dalam pada itu dia gagal juga. Padahal kalau hendak
diukur daripada usaha, tidak ada satu yang tertinggal sehinggakan
seminar-seminar ekonomi pun diikuti, dan kertas-kertas kerja sudah pun
dilaksanakan. Kalaulah usaha manusia ini yang memberi bekas, sudah tentulah
semua kerja akan menjadi.
Jadi kita dapati di sini bahawa pengalaman manusia
sendiri telah membunuh pendapat orang-orang yang berfahaman qadariah. Gagalnya
ikhtiar manusia dalam berbagai-bagai bidang hidup ini, walaupun sudah
diusahakan sungguh-sungguh, hanya menunjukkan kepada kita bahawa usaha ikhtiar
manusia serta qudrah manusia tidak boleh memberi bekas. Ini dengan sendirinya
membatalkan iktiqad fahaman qadariah.
Pelampau Aqidah
Orang yang berfahaman dengan mazhab qadariah ini sudah
melampaui sempadan. Mereka mengiktiqadkan bahawa usaha ikhtiar manusia itu
memberi bekas sedangkan Allah berkata bahawa usaha ikhtiar manusia itu tidak
boleh memberi bekas. Setelah mereka sangkal kata-kata ALLAH itu, mereka
keluarkan pendapat mereka bahawa qudrah manusialah yang memberi bekas kepada
usaha dan ikhtiar mereka, dan langsung tidak ada sangkut paut dengan ALLAH.
Inilah puak pelampau yang sebenarnya. Mereka ini bolehlah kita ibaratkan puak
yang telah melampau ke kanan. Di dalam ajaran Islam, melampau ke arah mana pun
tidak diterima; sama ada melampau ke kiri atau ke kanan.
Pelampau atau ekstrimis yang kita sebutkan di sini
boleh berlaku di dalam bermacam-macam bidang ajaran Islam. Di sini golongan
qadariah adalah pelampau di bidang aqidah. Termasuk juga pelampau aqidah adalah
mereka yang berfahaman jabariah yang akan kita perkatakan nanti.
Puak Pelampau Ke Kanan
Qadariah ini dikatakan puak pelampau ke kanan kerana
ia mengadakan benda yang tiada; iaitu manakala ALLAH kata manusia tidak memberi
bekas, mereka pula kata usaha manusialah yang memberi bekas. Jadi, ini adalah
ekstrim di bidang aqidah.
Puak Ekstrim
Ekstrim juga boleh berlaku dalam bidang-bidang lain
seperti dalam bidang berfikir. Umpamanya seseorang itu memikirkan
perkara-perkara yang tidak bersangkut paut seperti memikirkan tentang kebesaran
ALLAH, kebesaran Al Quran, kebesaran Sunnah hingga diasak sekuat-kuatnya ke
dalam akal. Akhirnya dia menjadi mereng dan gila. Ini melampau. Yang tidak
melampau itu ialah mereka yang memikirkan kebesaran ALLAH, Al Quran dan Sunnah,
kemudian dia mendapat ketenangan jiwa.
Manakala ekstrim di bidang pakaian boleh juga berlaku.
ALLAH kata wanita-wanita mesti tutup aurat manakala mereka pula dedahkan aurat.
Mereka inilah golongan ekstrim sepertimana yang disebut-sebut orang hari ini.
Dan ekstrim di bidang membangunkan rumah pula ialah apabila seseorang itu
membangunkan rumah lebih daripada yang perlu hingga jatuh kepada membazir. Ini
juga satu bentuk ekstrim.
Kemudian ada pula ekstrim dalam bidang membeli kereta
misalnya. Kalau dia membeli kereta yang berharga $15,000 atau $20,000 sudah
memadai serta mencukupi keperluan, maka dia beli kereta dengan harga $80,000
atau $100,000; ini sudah jatuh ekstrim. Dia sudah melampau. Tentu lebih baik
dia gunakan wang yang lebih itu untuk membangunkan perkara-perkara lain yang
lebih bermanfaat. Pendek kata, ekstrim boleh berlaku dalam mana-mana bidang
pun.
Dalam hal yang demikian, kita hendaklah berhati-hati
serta beringat-ingat kerana kalau tidak, kadang-kadang apa yang kita pelajari
dengan apa yang kita perbuat boleh bercanggah. Umpamanya kita sudah belajar
tentang iktiqad Ahli Sunnah Wal Jamaah dan kita telah tahu segala-galanya,
tetapi dalam pengalaman kita harihari, dalam tindak-tanduk serta perbuatan
kita, dalam perjuangan dan jihad kita, didapati semua ini telah tidak selari
dengan ilmu yang kita pelajari.
Kadang-kadang apa yang kita lakukan itu sendiri kita
tidak sedar. Umpamanya cakap-cakap kita, tingkah laku kita dan sebagainya,
semuanya terjadi dengan tidak kita sedari. Rupa-rupanya kita sudah termasuk
kepada qadariah walaupun kita belajar tauhid Ahli Sunnah Wal Jamaah. Inilah
akibatnya kalau kita tidak berhati-hati dalam mana akan berlakulah perbuatan
kita bercanggah dengan ilmu yang kita pelajari.
Qadariah Dalam Kehidupan
Coba kita perhatikan beberapa contoh yang berlaku di dalam masyarakat kita
hari-hari. Umpamanya seseorang itu begitu yakin bahawa dengan kelulusan dan
kelayakan ilmu pengetahuan yang ada padanya, dia akan kaya serta mewah dan
mendapat kesenangan hidup. Juga dia yakin dengan kelulusan itu dia boleh
menjadi orang baik. Di sini dia telah tercangkuk kepada qadariah padahal dia
sudah belajar iktiqad Ahli Sunnah Wal Jamaah. Tetapi perbuatannya, sikap dan
tindak-tanduknya menunjukkan dia telah terjebak kepada qadariah.
Dan begitu jugalah seseorang yang begitu yakin dengan
pangkatnya hingga mengatakan bahawa pangkat lah yang membawa kekayaan dan
kemewahan hidup kepadanya. Dengan tidak disedari, dia sudah terjebak kepada
qadariah. Setengah-setengahnya pula berkata,"Kalaulah aku tidak menolong
bantu dia dan kalaulah aku tidak campur tangan, sudah tentu dia tidak akan
berjaya!" Orang ini sudah jatuh kepada qadariah.
Ada sesetengah orang pula berkata, "Kalaulah
bukan aku yang mentadbirnya, sudah tentu dia tidak akan berjaya. Kerana
campurtangan akulah, maka projek itu berjaya!" Dia sudah terjebak kepada
qadariah yang mana dia tidak pun mempelajarinya. Dia telah terjebak secara
tidak disedarinya.
Manakala setengah-setengah orang itu pula sentiasa
memperakui dirinya sendiri dalam setiap percakapannya seperti, "Akulah
yang menjayakannya...! Akulah yang membangunkan masyarakat ini...! Akulah yang
membawa kesenangan kepada orang ramai...! Akulah itu... dan akulah ini .
..!" dan sebagainya.
Orang-orang ini menunjukkan sikap qadariah. Dia sudah
lupa kuasa ALLAH yang telah memberi bekas kepada segala suatu. Dia hanya ingat
yang kuasa dia yang telah memberi bekas.
Jangan pula kita salah faham, oleh kerana kita
mengatakan bahawa ilmu kita tidak boleh memberi bekas, kelulusan kita tidak
boleh memberi bekas, pangkat kita tidak boleh memberi bekas dan sebagainya,
maka kita pun tidak mahu belajar, tidak mahu mentadbir, tidak mahu berusaha,
dan seterusnya. Ini salah.
Tiada Alasan Menolak Ikhtiar
Usaha dan ikhtiar mesti kita lakukan kerana itu adalah
perkara yang disuruh. Semua usaha dan ikhtiar adalah yang diperintahkan oieh
ALLAH kepada kita cuma jangan kita iktiqadkan yang perbuatan kita, usaha kita,
ilmu kita, perjuangan dan jihad kita dan sebagainya, yang memberi bekas. Jadi,
jangan kita terkeliru di sini hingga kita tidak mahu berbuat apa-apa dengan
alasan semua itu tidak akan memberi bekas.
Ini sudah salah kerana semua ikhtiar adalah diperintahkan
kepada kita. Mencari ilmu adalah diperintahkan ALLAH kepada kita; berusaha
adalah perintah ALLAH; membangunkan masyarakat adalah perintah ALLAH; berjuang
berjihad adalah perintah ALLAH, dan seterusnya. Semua ini mesti kita lakukan,
tetapi hendaklah kita beriktiqad bahawa yang memberi bekas kepada semua
perbuatan ialah ALLAH SWT .Jadi, usaha dan ikhtiar itu tidak salah tetapi yang
salah ialah ketika kita yakinkan kebolehan kita atau ilmu kita itulah yang
membawa kejayaan dan sebagainya.
Sebagaimana yang telah kita pelajari dalam bab-bab
sebelum ini, ALLAH jadikan sesuatu itu ada dengan sebab-sebabnya. Umpamanya,
hendak pandai mesti belajar, hendak berjaya mesti berusaha kuat, hendak
kesenangan mesti bekerja keras, dan sebagainya. Semua itu adalah sebab-sebab
yang mesti kita lahirkan. Inilah yang dikatakan Sunnatullah. Dan semua sebab
yang kita lahirkan itu tidak boleh memberi bekas. Yang memberi bekas ialah
Allah SWT.
Jadi perkara-perkara yang boleh membawa kita terjebak
kepada iktiqad yang salah seperti inilah yang mesti kita jauhi. Hendaklah kita
faham benar-benar serta hendaklah kita berhati-hati kerana k:alau salah iktiqad
disebabkan perbuatan kita, cakap-cakap kita dan sebagainya walaupun ilmu yang
kita pelajarl itu tepat kepada iktiqad yang sebenar, kita boleh terjebak kepada
iktiqad qadariah sepertimana yang telah kita huraikan tadi, atau kita juga
boleh terjebak kepada iktiqad jabariah.
Bagaimanakah seseorang itu boleh terjebak kepada
jabariah? Hal ini berlaku apabila seseorang itu tidak mahu berusaha berikhtiar
tetapi hanya berserah kepada ALLAH semata-mata. Umpamanya, kalau
ditanya,"Mengapa tidak naik haji ?" dia nanti akan
menjawab,"Belum ada seru!"
Cakap-cakap seperti ini adalah jabariah yang mana
seolah-olah dia menunggu wahyu daripada ALLAH SWT sedangkan wahyu memerintahkan
orang menunaikan fardhu haji sudah lama turun. Padahal orang yang bercakap
seperti ini ada kemampuan, ada harta dan wang ringgit. Firman ALLAH:
Terjemahannya: Sempurnakan haji dan umrah kerana
ALLAH. (Al Baqarah: 196)
Jelas di sini bahawa seru sudah pun disampaikan. Tidak
perlu kita tunggu-tunggu datang seru lagi untuk menunaikan haji. Kalau kita
sudah cukup daya upaya serta mampu, kalau kita menunggu-nunggu seru, maka
berertilah bahawa sikap kita membawa kita kepada iktiqad jabariah.
Orang Yang Menyalahkan ALLAH
Antara cakap-cakap lain yang membawa seseorang itu
terjebak kepada jabariah adalah seperti apabila ditanya,"Mengapa awak
tidak pandai?" dia akan menjawab,"Sudah taqdir." Atau kepada
setengah-setengah orang bila ditanya, "Mengapa awak bercerai?" dia
akan menjawab, "Sudah kehendak ALLAH!" Inilah sikap orang-orang yang
beriktiqad jabariah. Dia menyerah bulat-bulat kepada ALLAH.
Orang seperti ini seolah-olah menyalahkan ALLAH
apabila sesuatu itu menimpa dirinya. Sungguhpun mulutnya tidak berkata,
"ALLAH yang bersalah!" tetapi pada perbuatan lahirnya, dia menuju ke
arah itu.
Tetapi yang peliknya, orang yang bersikap jabariah ini
tidak pula menyerah bulat-bulat kepada ALLAH dalam semua bidang. Hanya dalam
bidang-bidang tertentu saja dia menyerah kepada ALLAH seperti dalam bidang
mendidik anak. Bila kita tanya mengapa anak dia jahat, maka dia akan menjawab,
"Sudah taqdir!" Seolah-olah dia menyalahkan ALLAH SWT yang
menyebabkan anaknya jahat sedangkan dia tidak pernah mengikut perintah
Rasulullah supaya menyuruh anak bersembahyang ketika berumur 7 tahun dan
memukulnya apabila tidak mahu bersembahyang setelah berumur 10 tahun.
Dia berkata demikian kerana dia tidak suka bidang itu.
Tetapi dalam bidang-bidang lain seperti hendak mencari kekayaan, dia banting
tulang pagi dan petang kerana hendak melahirkan usaha ikhtiar. Dia berusaha
sungguh-sungguh sampai lupa sembahyang, puasa, mengaji, dan sebagainya.
Ada dua pendapat ulama tentang hukum orang yang
beriktiqad qadariah. Sesetengah ulama mengatakan fasiq bagi mereka yang
beriktiqad demikian manakala setengah-setengahnya meletakkan hukumnya kafir.
Kemudian ada sesetengah ulama pula menghalusi kedua-dua pendapat itu serta
mencari hukum yang lebih tepat. Mereka berpendapat, hukum fasiq lebih tepat.
Walau bagaimanapun, hukum fasiq juga tidak disukai ALLAH. Ertinya, kalau
seseorang itu mati dalam kefasiqan, maka dia akan terjun .ke Neraka juga.
Bagaimanakah iktiqad mereka yang berfahaman qadariah
yang dihalusi oleh setengah-setengah ulama sebagai terhukum fasiq sahaja itu?
Orang yang menganggap qudrahnya boleh memberi bekas atau membawa kejayaan
dengan tidak ada hubungan dengan ALLAH SWT tetapi qudrahnya itu ALLAH juga yang
beri, maka orang ini fasiq. Tetapi kalau ada yang menganggap bahawa qudrah itu
bukan ALLAH yang beri tetapi manusia itu yang menciptanya sendiri, maka orang
itu kafir secara terus.
Sebab itulah kita perlu berhati-hati benar dalam soal
tauhid ini kerana sikap dan perbuatan kita boleh membawa kita terjebak kepada
iktiqad yang salah. Oleh yang demikian, kita hendaklah selalu mengaji kerana
iktiqad adalah amalan hati yang mana amat sukar hendak diselaraskan dengan amal
atau perbuatan lahir.
Berusahalah serta berikhtiarlah kerana itu memang
sudah diperintahkan oleh ALLAH kepada kita. Tetapi jaga-jagalah, jangan sampai
hati kita mengiktiqadkan bahawa usaha ikhtiar kita itulah yang memberi bekas.
Carilah ilmu, sampaikanlah tarbiah, berniagalah serta berekonomilah, tetapi
jangan sampai kita iktiqadkan bahawa usaha kita yang membawa kejayaan hingga
kita lupa kepada kuasa ALLAH. Tetapi untuk memisahkan usaha ikhtiar kita
sebagai usaha ikhtiar yang membawa kejayaan itulah yang amat berat.
Kita terasa-rasa saja yang usaha ikhtiar kita itulah
yang sebenarnya membawa kejayaan hingga melompat kata-kata dari mulut kita
serta kita tunjukkan ia dalam sikap dan tingkah laku kita. Beratnya soal ini
adalah kerana aqidah merupakan soal hati. Sebab itulah kita perlu berhati-hati
jangan sampai terjebak.





Tidak ada komentar:
Posting Komentar